Bahagia Hingga ke Syurga. InsyaAllah. Amin..

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Anak Solehah. InsyaAllah. Amin..

Friday, December 13, 2013

Review: PD Waterfront Hotel

Assalamualaikum..

Baru-baru ni ikut darling husband berkursus di Port Dickson. Sambil menghabiskan cuti tahunan. Yang paling utama adalah sebab suami kesayangan tak sanggup tinggalkan anak dia lama-lama sangat, since Hani Qalesya sekarang asyik cari ayah je. 

So bila cari-cari hotel, banyak yang dah full. Cuti sekolah kan. Akhirya jumpa hotel baru di kawasan Waterfront PD. Dekat je dengan tempat darling husband berkursus, so senang tengah hari dia balik belikan makanan untuk anak dan isteri kesayangan. =D

Kami booked bilik Executive King untuk 3 malam (melalui Agoda). Total yang dibayar lebih kurang RM501 (RM167 / malam). Ok lah kan harga tu, musim cuti sekolah pulak. (Called the hotel, rate yang diberi adalah RM248 per night!!) So sangat untung lah kan guna Agoda untuk book hotel.

Hotel tu sebenarnya boutique hotel, tapi bila tengok bilik dia, memang best! Sebelum-sebelum ni pernah jugak stay hotel-hotel boutique, memang kecik lah. Tapi PD Waterfront ni lain.

Bilik sangat besar sampaikan aku boleh main kejar-kejar dengan Hani Qalesya. Di sebalik langsir tu ada sliding door ke beranda. So boleh jemur baju (lepas main pantai hehe) / lepak-lepak kat luar tu sambil minum petang. Bilik air pun cantik, ada rain shower besar dan kecik.

Overall puas hati sangat dengan harga yang kami dapat tu. Selalunya hotel baru memang berbaloi-baloi. Dulu di Melaka kami menginap di Hotel Hatten, masa tengah promo price. Yang tu memang sangattttttttttt best!


Tuesday, December 10, 2013

Hani Qalesya ke Zoo

Assalamualaikum..

Sebenarnya lawatan pertama kali Hani Qalesya ke zoo ni dah lama. Check balik gambar dekat Instagram, dah 12 minggu rupanya. Hahaha. Takpelah. Just update sebagai kenangan. Nanti Hani dah besar boleh baca =)

Aku ajak darling husband pergi Zoo Kemaman. Tak main lah nak melawat Mini Zoo Kuantan (Taman Teruntum) tu. Hahaha berlagak sungguh. Sebab dulu-dulu pergi Taman Teruntum macam bosan, lepas tu malas betul nak panjat bukit tu. So kami pilih Zoo Kemaman yang belum pernah dijejaki lagi tu..

Reaksi Hani?? Nak cakap teruja sangat tu tak pun, tapi ok lah boleh ajar dia tengok live animals. Selama ni tengok gambar je. Tapi yang tak best masa pergi tu adalah masa tidur harimau. Ada jugak la tunggu harimau tu bangun, jalan-jalan. Tapi tetap tidur lena. So melepas lah Hani nak tengok harimau live dekat-dekat. 

Tu harimau tidur lena. Princess Hani tengah ralit tilik ulat gonggok depan cermin tu. Sibuk nak pegang. Tapi berlakon pegang daun. Bila ibu ayah pandang tempat lain, tangan dia slowly nak pegang ulat gonggok tu. Tapi kantoi. Haha.

Feeding the elephant. Ibu seriau je nak hulur vegies tu dekat belalai gajah. Tapi Hani rilek je bagi dengan muka tanpa perasaan '_'
Tengok orang utan. Orang utan ni bosan jugak. Macam malas je duduk situ seekor. Tapi masa aku suap Hani makan honey star, dia hulur tangan mintak. Rasanya orang utan tu dah diajar untuk hulur tangan kot.
Suka la Hani dapat bebas berjalan. Bila ajak balik, Hani nangis. Ayah yang kejar sebab hani tak nak balik, nak main kat tangga. Oh, by the way, baju kemeja denim ni dari HQ Collections. Selesa =)
Ibu, nak 'tung' (nak dukung)......... Kata Hani..

[Dari Instagram] Balik dari zoo, kami ke Mesra Mall. Beginilah gelagat Hani Qalesya bila di butik pakaian. Shopaholic-to-be??? Masuk je mana-mana butik / kedai yang jual pakaian, beginilah dia. Tu yang dipegang tu skirt yang dia minat, yang memang dia tak pernah ada sebelum tu. Lepas kejadian ni baru la ibu ayah pakaikan skirt kat Hani =D


Monday, September 30, 2013

Aidilfitri 2013

Assalamualaikum..

Biarlah dah nak masuk Aidiladha pun.. Aku baru nak up entry Aidilfitri. Hewhew~~

Raya tahun ni Alhamdulillah, dapat berkumpul dan beraya dengan my family. Ma dan abah paling happy, anak-anak 7 orang + menantu 4 orang + cucu 4 orang semua ada memeriahkan suasana. Setiap tahun memang kami akan sambut raya dengan kedua-dua belah family di Pahang dan Johor, cuma pagi raya pertama tu, kena buat giliran. So tahun ni pagi raya yang sanagt best sebab dengan keluarga belah aku. =D

Kali ni persiapan raya paling biasa kot. Baju raya aku beli siap, baju pun biasa je, cuma tambah lace dan manik. Lace aku ada jual di HQ Collections ;) Tema tahun ni warna oren. Darling husband tak beli baju baru pun.. Pakai baju masa adik ipar kahwin tahun lepas. Sebab baju tu memang jarang dipakai, so recycle jelah. Lagipun baju melayu pakai sekejap je. Untuk our princess Hani Qalesya pulak, asalnya aku belikan baju kurung readymade, lepas tu last minute aku order lagi peplum utnuk dia. Hahaha. Sebab jealous tengok anak adik aku pun beli peplum. Nak jugakkk... ;D

Jadinya, berpeplum lah anak dara kami di pagi raya..

Pagi raya siapkan anak dara dulu.. Macam biasa la kena umpan dulu baru boleh ikat rambut. Ibu dia ni dah la tak pandai ikat rambut cantik-cantik. Sambil siapkan rambut dia, sambil bercerita macam-macam nak bagi dia dduduk diam.

My small family. Tone baju ibu je lain. Tak pelah janji oren. Tudung pun aku recycle je pakai tudung murah RM15, tambah patch lace kat bahagian awning. Murah takpe, janji tutup aurat kan.. :)
Wajah-wajah kesayangan hamba..
Aku, kakak dan adik. Bersama anak masing-masing. Hani Qalesya, Humayra Nazra, Iman Isabella. Anakku over excited kenapa ntah. Hani dan Iman sebaya. Humayra kecik sikit. Beza setahun je..
Euuuu selekehnya aku! Yang ni raya kedua, ada makan-makan rumah ma dan abah. Tu baju kurung Hani yang aku beli sebelum dengki anak buah pakai peplum. Hahaha. Tudung kuning tu tudung Iman Isabella, Umi Iman saje pakaikan dekat Hani. Cekak biru tu adik lelaki aku yang kerja dekat Sepang hadiahkan. =)
Aidiladha nanti kami akan sambut di Johor pulak.. Kesian ma dengan abah, anak-anak yang dah kahwin ni semua sambut di kampung suami. Nak buat macamana kan, Aidilfitri dah berkumpul.. 

Nasib baik Aidiladha kejap je. Tapi sebab tu jugak lah Hani masih lagi takut-takut dengan family sebelah darling husband. Jumpa pun sekali sekala je.. Sedangkan kat rumah ari-hari biasa pun Hani jadi 'ekor' ibu, ni kan pulak rumah yang dia tak biasa. Confirm melekat!

Tuesday, September 24, 2013

10 Tips Kemanisan dalam Rumah Tangga ;-)

Assalamualaikum...

Aku selalu ingatkan diri dan darling husband, walaupun dah ada anak, kita kena pastikan kita sentiasa macam dulu. Mesti ada luangkan masa bersama, walaupun sekarang Hani Qalesya setahun 4 bulan, kami masih lagi belajar menyesuaikan diri dengan keadaan yang totally berbeza ni. =)

Kat sini aku nak share, beberapa tips untuk ingatan dan panduan kita bersama.. Tips yang patut kita amalkan sampai bila-bila, selagi masih bergelar suami isteri, walaupun anak dah berderet nanti (kalau Allah bagi rezeki begitu la..) Hehe. 

1. Ciuman – Mulakan setiap hari baru anda dengan ciuman. Dulu cium suami je, sekarang cium anak dan suami. Bila darling husband out station, selalu tunjuk gambar dia pada anak, nanti anak cium gambar tu.. =)

2. Cincin / gelang / rantai perkahwinan – Pakailah cincin perkahwinan anda setiap masa. Anda akan berasa dekat dengan pasangan anda setiap kali melihat cincin tersebut. Kecuali la kalau saiz dah berubah, itu tak dapek den nak tolong =D

3. Makan malam atau bercuti- Rancangkan makan malam atau bercuti ke tempat-tempat menarik bersama pasangan anda, sekurang-kurangnya sebulan sekali, bagi merapatkan lagi hubungan anda suami isteri. Kalau tak kat luar pun, kat rumah boleh.. Buatkan makan malam yang lebih special, lain dari kebiasaan.. Biasanya makan malam kan berkecah dengan anak.. Hahahahaha.. Sama jugak dengan bercuti. Pergi tempat dekat-dekat je pun takpe, asalkan suasana dia berbeza dari kebiasaan kita di rumah. So kat situ la timbul keistimewaan yang kita nak tu..

4. Perubahan – Setiap mereka yang mendirikan rumahtangga pasti akan mengalami perubahan dari segi fizikal dan mental. Ini kerana mereka akan terikat dengan macam-macam hal dan tanggungjawab. Oleh itu anda perlu menerima dengan positif perubahan tersebut. Aku selalu ceritakan pada darling husband tentang apa yang berlaku dalam hidup aku seharian, walaupun dia tak tanya. So that dia akan tahu perubahan mana yang perlu kami adapt dan hadapi dengan tenang.. Huhu

5. Adab – Dalam menjaga keharmonian berumahtangga, anda harus beradab (menghormati) pasangan anda. Adab itu perlulah dijaga, supaya tidak menyakiti hati pasangan anda. Aku kadang-kadang terkasar dengan darling husband, rasa berdosa sangat (sebab tu setiap malam kena minta maaf). Kadang-kadang aku stress, penat, dan aku mengharapkan dia buat sesuatu tu exactly macam aku buat. Tapi, being a father kan, MESTI takkan sama macam seorang ibu. Jadi macam mana pun, kena hormat dia. Syurga isteri di bawah tapak kaki suami..

6. Lemah-lembut dan berbudi bahasa – Bagi kaum isteri, berlemah-lembutlah dalam perbuatan dan berbudi bahasalah dalam percakapan. Suara dan kata-kata yang lembut akan membuatkan suami anda rasa disayangi. Yang ni bagi aku, kalau diri kita sendiri kasar, mungkin boleh belajar berlemah lembut. Biar lah orang kata hipokrit, kita cuba berubah untuk suami. Tak salah kan berubah demi kebaikan, walaupun pada mulanya kita rasa macam fake je. InsyaAllah, suami gembira, kita dapat pahala.. =)

7. Hadiah – Berikan hadiah kepada pasangan anda sewaktu hari-hari pentingnya, seperti hari lahirnya, hari ulangtahun perkahwinan dan sebagainya. Ataupun, kalau ada rezeki lebih, bagi je hadiah tak kira la hari apa pun. Kot la hari tu dia penat sangat balik kerja, hadiah kita tu boleh buatkan dia gembira.. Tak perlu hadiah mahal pun.. =)

8. Senyum – Kata orang senyum itu sedekah, jadi tidak ada salahnya jika anda tersenyum pada pasangan anda setiap hari, bagi menyatakan rasa kasih dan sayang anda kepadanya. Kadangkala aku saje je senyum pada darling husband tanpa sebab. Masa dia tengah tengok tv ke, tengah kusyuk makan ke.. Senyum je. Nanti dia pelik, dia tanya "Hmmmm..?? Kenapa??" =)

9. Sentuhan – Sentuhan boleh menyatakan perasaan anda kepada pasangan anda. Jika anda tidak dapat meluahkan perasaan sayang anda dengan perkataan, luahkan dengan sentuhan. Yes, yang ni aku sangat setuju. Sebolehnya mesti ada skin contact. Tengah drive ke, pegang tangan dia sesekali, tengah jalan-jalan ke, tengok tv ke.. Aku tak buat selalu, sebab benda yang selalu buat ni kita akan rasa biasa.. 

10. Impian – Setiap orang ada impiannya, begitu juga bagi mereka yang telah berumahtangga, pasti ada impian yang masih belum tertunai. Ceritakan impian anda kepada pasangan anda, supaya dia dapat membantu anda dalam mencapai impian tersebut. Tapi jangan sampai memaksa, nanti suami rasa terbeban pulak nak pastikan kita capai impian tu..

Semoga kita sama-sama dapat manfaat dari tips ni. Dan semoga rumah tangga kita semua diberkati dan bahagia sampai syurga. Amin....

Credit kepada blog peribadirasulullah

Monday, September 2, 2013

Duhai Anak.. Hatiku Menangis Lagi..

Assalamualaikum..

Hari ni hantar Hani Qalesya pada pengasuh, aku menangis lagi.. Entah kali ke berapa dah.. Aku sedih sangat bila tengok pandangan mata Hani pada aku, sampai la aku hilang dari pandangan dia... 

Isnin biasanya Hani macam ada Monday blues. Setelah 2 hari berkepit dengan ibu dia ni, jalan-jalan dengan ayah.. Bila nak pass pada pengasuh, dia akan merengek. Tapi pagi ni Hani tak pulak macam tu. Dia redha je masa bertukar dukungan tu. Tak nangis tak memberontak. Suruh salam cium aku pun, dia buat je..Cuma pandangan mata dia tu.. :'(

Ibu dia pulak nampaknya ada Monday blues! :'( Aku rasa macam tak nak bagi Hani pada Kak Emi tu. Aku rasa macam nak peluk Hani bawak balik. Cium dia tanpa pernah puas. Main-main dengan dia. Gelak-gelak dengan dia. Suapkan dia makan. Susukan dia sampai puas. Tapi.... :'(

Setiap hari, masa kereta mula bergerak keluar dari rumah Kak Emi, aku sebak. Setiap hari hati aku berazam, satu hari nanti, aku akan duduk rumah dengan Hani. Aku akan kerja dari rumah. Aku sangat tak sanggup hantar Hani dijaga orang lain. Sejujurnya, memang aku tak sanggup. Aku rasa bersalah sangat-sangat tinggalkan Hani 10 jam setiap hari. Bayangkan, pagi-pagi dia buka mata dah dihantar ke rumah pengasuh. Petang tengah tidur, kena bangun sebab pengasuh nak mandikan dia, kejap lagi ibu dah balik. Malam pulak kalau dia mengantuk, paling awal dia tidur dalam pukul 9pm. So berapa jam je sehari aku bersama dengan Hani? Berbanding masa Hani bersama pengasuh?? 

Sebab tu lah, setiap pagi, aku sanggup luangkan masa untuk masak makanan Hani. Aku sanggup kalau thumb print lebih pukul 8am, asalkan aku susukan Hani dulu sebelum pergi kerja. Aku tak akan pergi kerja tanpa tinggalkan masakan aku untuk Hani makan, aku tak akan pergi kerja tanpa susukan Hani pagi tu lepas dia bangun tidur. Aku rasa seolah-olah hak Hani dikhanati. Dah lah Hani tak fully breastfeed.. 


Maafkan ibu, Hani sayang.. Ibu nak Hani tahu, ibu tak rela pun hantar Hani pada orang lain.. Maafkan ibu.. Ibu sayang sangat pada Hani.. Cuma ibu terpaksa.... :'(

Aku berdoa semoga ada rezeki aku untuk jaga Hani di rumah.. Amin...







Thursday, August 1, 2013

Ramadhan 2013 bersama Hani Qalesya

Assalamualaikum..

Lagi beberapa hari berakhir lah Ramadhan tahun ni. Alhamdulillah, kali ni kali kedua aku dan darling husband berpuasa bersama our little princess. Tahun lepas Hani baru 2 bulan, kami berbuka pun kebanyakannya di rumah jiran aka rumah mak aku. Hahaha. Sebab masa tu Ma yang jaga Hani, so aku tak masak, balik kerja beli juadah sikit-sikit, then berbuka sama-sama dengan family ataupun tapau makanan yang ma masak bawak balik rumah. Hehe.

Untuk tahun ni, Hani dah pun 14 bulan masa bulan puasa ni. Raya nanti Hani genap 15 bulan. Aku dah boleh masak untuk berbuka. Balik kerja pukul 5pm ambik Hani kat rumah pengasuh, balik tunggu darling husband sampai, then baru start masak untuk berbuka. Si isteri memasak, si suami melayan si puteri. Kalau si suami out station, si isteri berbuka di rumah mak jelah.. Hehe.

Setakat ni baru sekali rasanya aku berbuka rumah Ma. Ada sekali darling husband out station aku berbuka berdua je dengan Hani kat rumah. Goreng nasi makan dengan sambal hitam beli dengan kawan. Hani pun makan nasi goreng jugak. Hani sekarang dah semakin berselera, especially kalau makan dengan orang. Dia dah pandai nak makan sendiri. Letak je nasi dalam pinggan 'princess' dia tu, bagi sudu, biar dia suap. Tapi harus lah ibu dia banyak bersabar sebab banyak kali kena lap lantai! Kalau time makan ramai-ramai dengan family, Hani sangat happy. Makanan orang pun dia nak. Tapi aku tetap lagi kawal pemakanan Hani.

 Ni gambar lama masa otw balik kampung dulu.. Hani sibuk nak pakai topi ayah..

Perkembangan Hani pulak, sekarang dah pandai sebut beberapa words dengan slang versi baby dia lah.. Antaranya, ayah, babai, no no no, (dah lama pandai sebut dengan jelas), nak nak (sambil muka tunduk dan gigit pinggan '__'), nanak (tak nak, sambil geleng-geleng kepala), nenek (kadang-kadang jadi 'nanak'), a-tak (maksudnya atok, sebut kali kedua jadi a-tak, kali ketiga jadi ta-tak [katak]!), a-yie (lori), bak! bak! (maksudnya solat, Allahuakbar).. Words lain aku tak reti nak tulis sebab dia guna bahasa dia yang bunyinya memang berbeza dari bunyi word sebenar. Bila ajak dia nyanyi, dia akan buat isyarat jari ikut lagu. Contohnya kalau lagu 'twinkle twinkle' tu, isyarat jari buat macam bintang kelip-kelip. Kalau aku nyanyikan 'alif ba ta', dia tunjuk bentuk alif sambil gerakkan jari dia. 'One two three' pun mcamtu jugak. Lepas tu kalau nampak Al-Quran, aku akan bagitahu, ibu ngaji.. Automatik terus Hani tadah tangan. Hani akan tadah tanagn kalau dengar azan (walaupun azan belum habis huhu), bila tengok orang mengaji / baca doa, dan bila Hani datang duduk dekat aku / darling husband sesudah kami selesai solat.

Masa-masa bersama Hani di rumah. Gambar kanan, masa berbuka puasa, Hani sibuk sangat nak gigit ekor ikan sebelah goreng tu. Sambil ibu suapkan nasi, nak jugak dia gigit ekor tu. Sempat ayah snap gambar ni hantar mms pada nenek kat kampung =)

Minggu lepas darling husband ajak pergi shopping baju raya. Pergilah kami ke Kuantan Parade membawa Hani Qalesya. Tapi.... Our little princess ni sangat lah lincah, dah handal berjalan lah katakan.. Sekejap je dia terkedek-kedek (tapi laju la) di celah-celah baju. Selamba je Hani pergi tegur budak-budak baya umur darjah 1 tu, nak salam dengan orang, belek-belek jam kat tangan orang lah. Bila ibu or ayah nak pimpin tangan dia, Hani tak nak. Masa darling husband out station, aku bawak Hani ikut parents pergi Seng Heng, Hani happy sangat. Turun je dari kereta, jalan kat koridor kedai, dia dah menjerit-jerit sambil gelak. Sambil dia jalan sambil gelak pandang Nekma, pandang Tok Ayah dia. Bayangkan lah cara dia berjalan tu! =D Masuk dalam Seng Heng, Hani diam sekejap sebab pekerja situ tengok dia. Tapiiiiiii bila pergi area yang display TV banyak-banyak tu, Hani mula balik jerit-jerit sambil menari-nari layan lagu raya. Hahahaha Hani Hani.. Aku jenuh kejar, kawal dia. Tapi aku sangat terhibur dengan gelagat dia tu. Tak sangka Hani yang masa kecik sangat cranky, kuat nangis, takutkan orang, bila dah setahun, beginilah.. Hahaha.

Ni current hobby Hani sekarang. Di kala ibu sibuk di dapur, terpaksa la ibu merelakan Hani main masak-masak dengan periuk real. Bagi periuk mainan confirm dia tak nak. Tengok tu, habis segala rempah ratus ibu, bakul semua jadi mainan Hani. Tapi aku akan kemas balik bila siap masak. Kalau ada hilang barang kat dapur tu, mesti kerja Hani. Sebab Hani suka jugak buang barang / bawang ibu dalam bakul sampah '__'

Tahun ni InsyaAllah raya pertama di Kuantan. Nekma & Tok Ayah akan beraya dengan semua cucu. Hani pun dah beli baju sama dengan cousins dia untuk pakai sama-sama nanti. Ibu pun tak sabar nak sambut raya dengan family Kuantan =) Raya ketiga baru kita balik Johor ye..








Wednesday, May 22, 2013

Doa Selamat & Hani Qalesya's 1st Birthday Party

Assalamualaikum..

Hani Qalesya genap setahun on 9 Mei 2013, tapi kami hold celebration untuk Hani sebab weekend tu parents dan adik-adik ke Terengganu.. 18 Mei 2013, Alhamdulillah, akhirnya tercapai hasrat nak buat majlis doa selamat dan sambutan hari lahir untuk Hani. Kami sekadar menjemput keluarga dan kawan-kawan terdekat je.. Lagipun ni first time buat makan-makan di rumah sendiri.

Majlis dimulakan dengan doa selamat pukul 3pm. Abah yang uruskan jemputan orang masjid. Penuh jugak la ruang tamu rumah dengan kehadiran orang-orang yang tolong buat doa selamat untuk Hani Qalesya. Semoga diberkati.. Amin...

Mood Hani hari tu ok je, walaupun tak lah happy sangat sebab dia cuma tidur pagi tu je dalam sejam. Tengah hari sampai petang tu tak tidur, ada jugak la sayang aku tu menguap beberapa kali masa jamuan. Menu yang aku sediakan tempah adalah pulut kuning dengan gulai ayam, bihun goreng, apam aiskrim, apam polka dot, cream puff, dadih, buah-buahan dengan mashmellow celup coklat. Kek ada dua, satu kek pandan layer (tempah dengan azira), satu lagi my homemade 100% real fruit cake. Hehehehe. Puas hati sangat dapat sediakan kek buah tu, dah lama aku impikan. Beria-ria aku beli buah-buahan tu semua tau. Hehe.

Goodies bag ada dalam 20 pcs je aku sediakan untuk kids, dan 20 pcs untuk orang masjid + saudara mara. Dalam goodies bag macam biasa la letak makanan / jajan. Simple je, aku buat pun malam-malam bila Hani dah tidur..

Happy Birthday sayangku Hani Qalesya. Ibu & ayah doakan Hani membesar dengan sihat (insyaAllah), Hani jadi insan yang berguna untuk agama, bangsa & negara, dan yang paling penting Hani jadi anak yang dapat doakan ibu & ayah di sana nanti ye sayang.. :') 
Tersenyum sayang ibu ni lepas orang nyanyikan lagu birthday untuk dia. Dia tengok edible image atas kek tu, tersenyum sambil geleng-geleng kepala tengok gambar newborn baby. Hani, itu Hani la tu masa baru keluar dari perut ibu..


Left: Kek pandan layer with edible & figurine. 
Right: 100% fruit cake made by me ;-)



Comel kan?? Sebaya ni, lahir 2012. Nanti darjah satu sama-sama, ibu dengan umi dok compare exam results anak masing-masing.. Huhu..
My birthday girl busy check hadiah birthday. Excited! =)

Ini lah dia hadiah-hadiah yang Hani dapat. Alhamdulillah.. Terima kasih sangat pada yang bagi. Hadiah kat tengah ada nombor plate 'HANI' tu tak boleh tunggang lagi, kaki Hani belum sampai. Hehehe. Terima kasih ye Makya & Umi. Kuda tu tok ayah Hani bagi, walker tu mummy bagi.. Stroller pink ada baby tu Pok Edi Hani bagi, walaupun orangnya tak balik, tapi ada tinggalkan hadiah untuk anak buah. Ada jugak teddy bear tak masuk gambar sebab hadiah tu dapat masa Hani dah tertidur kepenatan lepas dah habis majlis (thanks auntie Iza & uncle Tajudin)..

Alhamdulillah, Hani happy sangat. Aku dan darling husband pun bahagia je tengok anak dok sibuk belek mainan baru setiap hari. Hahaha. Malam-malam mesti nak tolak stroller baby dia keliling rumah sambil mulut membebel bercakap dengan baby, tekan-tekan buttons muzik dekat walker tu sambil joget-joget.. =)

Ohh. Tiba-tiba rindu sangat kat Hani!







Thursday, May 9, 2013

Hani Qalesya is 1!

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, syukur pd Allah, dah setahun rupanya aku menjadi ibu. Ibu kepada Hani Qalesya bt Mohd Azhar. Setahun yang lepas, waktu yang sama aku tengah menaip ni, aku masih belum sedarkan diri di bilik pembedahan. Darling husband dan family aku dah jumpa Hani masa ni.. Hishhh kalau diingatkan balik detik membawa satu nyawa ke dunia, macam-macam perasaan ada. Boleh baca kat sini dan sini. =)

Hello semua! I'm a big girl now. Tapi I will be ibu's baby forever and ever.. =)

Go, baby! Go!! Aksi Hani menjelang umur setahun..


Memang rasa cepat sangat masa berlalu. Hani dah banyak perangai,banyak kerenah sekarang. Setiap hari Hani tak pernah tak buat kami suami isteri ni ketawa terhibur dengan keletah dia. Sungguh, aku sangat bahagia dengan kehidupan sekarang. Bukan nak menunjuk, tapi kalau satu hari nanti Hani boleh baca tulisan ni, aku nak dia tahu betapa bahagianya kami di sisi dia.

Hani dah ada 5 batang gigi, 2 di bawah. Gigi keenam masih belum muncul, tapi dah rasa kat gusi tu keras. Hani sangat suka tersenyum dan tersengih menampakkan gigi. Mata pun jadi kecik je bila sengih. Sambil sengih, sambil tunjuk jari telunjuk dia, goyang-goyang seolah-olah nak cakap "haaaa haaaa tak tau....". Petang-petang pukul 6 bila nampak kereta ibu sampai depan rumah pengasuh, dia dah buat dah aksi "haaaaa haaaa tak tau...." dia tu.

Berjalan, Hani masih belum boleh. Masih lagi peringkat belajar. Tapi setiap hari ada improvement. Dari setapak, dua tapak, sekarang boleh dah lepas dia berjalan sendiri dalam 6,7 tapak. Hani suka sangat setiap kali orang lepas dia belajar berjalan. Tersengih-sengih. Ada masa bila dia rasa happy sangat, kalau ramai-ramai orang, dia akan gelak "aaa ha ha ha ha" dengan suara kasar. Dengar orang gelak dia nak join gelak sekali. Dengar orang gelak dalam radio pun beria dia gelak jugak.

 Masa nak beli sandal. Ibu nak sangat belikan Hani sandal yang ada bunyi-bunyi tu. 
Jumpa jugak. Lagi ok dari pakai kasut sebab Hani tak suka pakai kasut. Rimas kot.

Bab makan, Hani tak memilih sangat. Aku bertuah sebab Hani makan hampir semua makanan yang aku sediakan.Pengasuh Hani pun cakap Hani memang berselera makan. Happy la ibu dia ni bila anak makan semua yang dimasak. Ada la beberapa kali dia tolak, bila makanan yang aku masak tu adalah first time untuk Hani rasa. Contohnya cous cous, Hani tak suka. So lama dah aku tak masak cous cous. Daging pun baru sekali Hani makan, dia suka je makan, tapi perut dia tak suka.  Susu pulak macam biasa, Hani minum tak banyak pun. Sehari dengan pengasuh 3-4 botol je dia minum. Tu pun masih lagi guna botol susu kecik. Malam memang Hani melekap dengan aku je.. =) Asalkan Hani sihat, aku ok je. Berat Hani masa timbang kat klinik 8.5kg, tapi masa guna digital scale kat rumah, 9 kg dah. Tak kisah lah.. Ynag penting normal..

InsyaAllah, aku tengah dalam usaha nak berhentikan Hani dari minum susu lembu. Tukar dengan susu kambing. Setakat ni bagi dia rasa, dia ok je minum.. Hopefully usaha aku berjaya..

Hani breakfast pancake pisang bentuk 'love' dengan susu kambing. *belum mandi =D

Untuk sambutan hari jadi Hani, aku tak buat minggu ni. Parents aku bawak adik-adik bercuti ke Terengganu. So postpone ke minggu depan. Buat dengan doa selamat sekali di rumah kecil kami. Tetamu pun keluarga dan kawan terdekat je insyaAllah..

Doa kami sebagai ibu dan ayah Hani, semoga Hani Qalesya membesar dengan sihat, bijak, lembut hati dan yang penting dapat menjadi harta kami yang paling berharga, dapat doakan kami di dunia dan di akhirat nanti.. Amin....


Wednesday, April 10, 2013

First time Hani jatuh katil

Assalamualaikum..

Sebelum ni memang banyak kali Hani nak buat aksi stunt terjun katil. Anak dara aku tu memang tak pernah takut jatuh. Memang sejak beberapa bulan ni laju sangat dia nak turun ke bawah. 

Untuk pertama kalinya, (harap terakhir kali jugak), Hani jatuh katil. Di kampung. Rumah mertua aku. Kejadian tengah malam, silap aku. Sebab tu lah aku menangis sangat-sangat lepas dia jatuh tu. Rasa macam tak nak tidur, nak tengok je Hani sepanjang masa. Al-kisahnya, kami sampai di kampung hari Jumaat dalam pukul 5pm. Malam tu lepas Isya' ada kenduri doa selamat dan tahlil. Esoknya adik ipar aku (Uda) nikah. Malam tu dah habis majlis aku penat, mungkin sebab travel. Hani pulak tak nak tidur-tidur lagi, mata aku mengantuk + badan penat. Darling husband yang layan Hani, aku tidur dalam pukul 11 macamtu kot. 

Then lebih kurang 11pm / 12am, darling husband masuk bilik bawak Hani yang still aktif. Dia pass Hani pada aku and dia keluar bilik. Aku macam mamai la, darling husband ingat aku dah bangun. Sebab aku pegang Hani dah masa tu. Rupanya aku tertidur lagi, dengan tak sedar Hani dah menuju tepi katil. Aku sedar-sedar je Hani nangis, terus sepantas kilat aku lompat ke bawah sebab nampak Hani tengah tertiarap mengadap lantai. Ya Allah masa tu tak tahu la nak describe macamana perasaan ni. Hani dah meraung, aku pujuk dia, gosok-gosok dada dia, cium-cium dahi dia sambil check seluruh badan takut ada injured ke apa. Memang aku berdebar sangat-sangat masa tu. Bila darling husband masuk bilik, aku cakap 'Hani jatuh, abang' tapi suara aku tak keluar dah. Aku pun meraung sama. 

Aku susukan Hani, kejap je lepas tu Hani tertidur dah.. Sempat dia menguap 3x kot masa tengah meraung tu (ngantuk sangat la tu). Berpeluh-peluh kepala Hani masa dia tidur sambil menyusu tu. Hani dah berhenti menangis, tapi aku tak berhenti-henti lagi. Serius, rasa macam bersalah sangat aku tidur and tak sedar Hani dah terjun katil. Darling husband pujuk aku and cakap takde apa-apa.. Aku risau. Takut sangat kalau Hani sakit. Kalau esoknya Hani macam tak ok, aku ajak jumpa doktor terus. Mana tak nya, Hani jatuh dengan dada ke bawah. Kepala dia pun menghadap lantai kalau tak silap aku. Tak perasan sangat sebab terus angkat dia. Tapi aku perasan tangan dia dua-dua ke atas, means tak tersepit la.

Esoknya syukur Alhamdulillah Hani tak menunjukkan tanda-tanda sakit langsung. Sangat happy, mulut pun bising macam biasa, dan sangat aktif. Yang aku perasan Hani semakin berani. Lagi kerap dia cuba nak menapak. Aku lega sangat. Paling aku risau pernafasan dia sebab dada tertindih kan. Masa majlis nikah kat surau, suara Hani berkumandang dengan sanagt kerap. Hahahaha. Semua yang dalam surau dok tengok kat Hani la sebab tak berhenti-henti pot pet pot pet bahasa dia. Siap panggil-panggil orang lagi. Ibu dia ni terpaksa bagi umpan baby bites masa pak uda dia nak akad nikah. Takut pak imam marah. Haha. Tapi Hani tetap begitu.. Suara dan pergerakan sama rancak. Hani, Hani... Nak jadi lecturer jugak ye sayang?? =)


Anak dara duduk atas mesin basuh sambil ibu dan ayah buat kerja
Bz bee.. Mengemas (read: menyepahkan) adalah Hani's favourite activity

Celebrity-wanna-be
Kesayangan ibu dan ayah

Sebelum jatuh katil: Hani masa on the way balik kampung. Buat aktiviti kegemaran. Bakul susu dan makanan jadi mangsa. Sesekali bila bosan pergi panjat seat ayah sebab nak tolong ayah drive jugak..
 Selepas jatuh katil: Dah la pakai seksi dalam surau, buat bising, nak join golongan lelaki kat depan, duduk sorang-sorang kat tengah surau tu. Hihi. Macamana pun, ibu tetap sayang Hani..





Friday, March 29, 2013

Latest Update

Assalamualaikum..

Minggu ni adalah minggu terakhir pembelajaran untuk pelajar-pelajar aku. Awal bulan depan dah mula final exam. Life sangat hectic sejak kebelakangan ni rasanya. Hani semakin membesar dan nakal (dan becok juga, hehe), kerja-kerja pejabat semakin bertimbun (rasanya ISO documentation semester ni paling tak terurus), kerja-kerja kat rumah pun memang tak pernah habis. 

Baru-baru ni, Hani demam lagi. Tapi tak la seteruk yang dulu. Tapi still jugak demam mencecah 39 degree. Cuma kali ni kami lebih bertenang menghadapi situasi tu. Dalam masa yang sama, aku pun tak sihat. Demam, batuk, selsema. Hani pun batuk dekat dua minggu kot. Kena buat nebulizer jugak sekali. Meraung-raung si manja aku tu, rasa macam bergegar klinik. Huhu. 3 hari aku cuti nak jaga Hani kat rumah. Dah la dalam masa yang sama anak pengasuh Hani pun demam. Memang musim, ramai sangat orang sakit. Anak abang aku pun sampai masuk wad sebab demam.. 

Sekarang ni Hani dah ada 4 batang gigi, 2 gigi atas, 2 gigi bawah. Tapi gigi atas Hani sangat lah jarang antara satu sama lain. Kelakar pulak tengok bila Hani tersengih. Hihi. Aku pun dah terfikir nak ajar Hani gosok gigi. Bila ye masa yang sesuai, masa gigi dia dah ada berapa batang nak start? Lagipun Hani dah banyak makan sekarang. Alhamdulillah, dia sentiasa berselera, kecuali masa demam tu seminggu jugak lah tak nak makan walaupun setiap hari aku masak dan berharap selera dia akan kembali. Tapi masa tu goyah jugak la, cakap dengan darling husband macam nak belikan nestum je untuk Hani. Tapi darling husband sangat supportive, syukur kami masih memberikan Hani homemade food. Sebab tu aku sanggup tidur pukul 1 pagi hampir setiap hari untuk sediakan makanan Hani untuk dimasak keesokannya..

Dalam usia Hani nak masuk 11 bulan ni, dia masih takut-takut nak menapak. Tapi kalau dengar lagu favourite dia tu, tersengih-sengih la berdiri sambil goyang-goyang badan, tepuk-tepuk tangan. Aku pun gigih belikan kasut lagi untuk Hani. Sebelum ni Hani dah ada beberapa pasang kasut, tapi jarang sangat pakai, ada yang tak pernah pakai pun, sekarang terpaksa bagi pada Iman Isabella (sepupu Hani) sebab dah tak muat. Kaki Hani jenis kurus panjang.. Badan pun slim je.. Bak kata mak aku, Hani ikut ibu dia masa kecik, slim je.. Hew hew hew~~

Berat Hani masa sebelum demam dalam 8.2kg, tapi bila demam masa umur 10 bulan, berat turun jadi  7.7kg sahaja.. :'( Sekarang Hani nak gain weight balik, makan banyak. Pengasuh Hani pandai bagi dia makan, setiap hari habis satu termos tu bubur / apa-apa yang aku bekalkan. Hani jenis makan sikit tapi banyak kali. Hopefully sekarang berat Hani dah meningkat. Tapi aku tak lah risau sangat, asalkan Hani membesar dengan sihat, aktif, happy dan becok macam sekarang ni (hehe), aku ok je.. Kami check up di klinik swasta, so doktor tak lah concern sangat dengan berat badan Hani, as long as dia sihat dan aktif...

Ayah Hani pulak, sekarang asyik kerja malam / out station je. Stress pun ada jugak aku ni sebab asyik kena tinggal. Haha. Tapi dah kerja, nak buat macamana. Rezeki untuk kami.. Kena la berkorban sikit.. Bila darling husband out station, aku akan selalu tanya Hani "mana ayah?" Lepas tu mula la Hani tercari-cari ayah dia. Intai kat pintu, kadang-kadang macam tertunggu-tunggu sebab dia ingat ayah nak main cak-cak dengan dia.. Kadang-kadang tunjuk gambar / video.. Aku takut Hani lupa ayah dia (padahal sehari dua je ayah dia out station. huhu)..

Beginilah Hani, kalau weekend, bangun pagi memang nak main je lah (rambut pun serabut). Sambil mulut membebel / menyanyi sorang-sorang. Ni kerja ayah dia la ni, bagi anak gigit tin susu dalam bakul. Sob sob sedih ibu tengok '__' Tapi Hani happy bukan main bila main tarik-tarik bakul tu. Hmmm boleh la nak oi, asalkan awak happy.. Ayah main tarik bakul dengan anak, ibu buat kerja kat dapur..

Gambar ni ayah Hani candid, masa ibu tengah layan Hani tengok video kat restoran. Sekarang Hani suka tengok video [HelloCocomong ~ the wheels go round and round~~~]. Sebab binatang tu menyanyi, menari. Suka sangat la Hani kalau berjoget-joget ni. Tapi kalau kat rumah, kena jugak tengok video mengaji / huruf hijaiyah. Kang asyik menyanyi, menari je, ibu babap kang..

Hani, Hani jangan marah ibu letak gambar ni. Seronoknya awak tidur tertonggeng-tonggeng ye. Kalau tidur dengan ibu ayah, tak bebas ek. Hihi. Ni masa Hani nak masuk 10 bulan dulu.. Jarang Hani tidur tertonggeng macam ni.. Biasanya Hani tidur berpusing je. Kaki di muka ayah, kepala di muka ibu. Tapi kadang-kadang ibu dapat jugak kaki Hani. Tengah tidur terasa ada benda cuit-cuit muka, rupanya jari kaki Hani. Hai laa anak.. '__'

Sekarang ni aku teruja nak fikir 1st birthday celebration untuk Hani. Tengah nak kumpul ideas. Of course la untuk ibu Hani jugak! Hahaha. Birthday ibu dan anak beza seminggu je.. So boleh celebrate sama-sama. Ayah kena sediakan 2 hadiah.. ;-)

p/s: Jemput LIKE fb HQ Collections. Shaw halfmoon sakura RM36 sahaja!



Wednesday, March 6, 2013

Hani dah nak masuk 10 bulan??

Assalamualaikum...

Haii lah sekarang ni susah betul nak update blog kesayangan ni. Banyakkkkkkk sangat saat-saat penting dalam hidup aku ni yang dah tak tertulis. Sejak adanya Hani Qalesya, tambah pulak dengan mula jinakkan diri dalam bisnes kecil-kecilan, memang susah nak catat kenangan kat sini.

Tu yang sedar-sedar, 3 hari lagi dah nak masuk 10 bulan dah anak kesayangan aku tu. Tak lama lagi nak sambut birthday dah. Sekejap sangat masa berlalu. Hani pun dah pandai bising, dah pandai membebel, menyanyi dengan bahasa sendiri, goyang-goyang badan kalau dengar muzik (especially bila tengok 'Big Bugs Band' dan 'Let's Dance' kat BBTV), dah pandai marah pukul-pukul orang, tendang-tendang kaki.. Hmmm apa lagi perkembangan Hani. Gigi masih lagi dua batang. Berjalan belum lagi, tapi sekarang dalam fasa belajar dan memberanikan diri nak melangkah. Setapak dua tu ada la jugak. Jatuh pun ada jugak beberapa kali. Hihi. Sekarang kalau letak dia kat atas katil, main dengan anak patung monkey dia tu, tinggal sekelip mata je Hani dah nak terjun katil. Tak gayat budak Hani ni. Sebab tu suka sangat kalau kena julang tinggi-tinggi.

Bab kesihatan, minggu lepas Hani ada macam demam sikit. Sikit je, suam-suam je badan dia. Tapi aku tetap EL sebab takut, Serik dah rasa pengalaman anak demam teruk. Then esoknya Hani dah ok, sekarang tinggal batuk dan selsema sikit. Musim kot, sebab ramai betul yang sakit sekarang, termasuk lah ibu Hani ni. Hani jugak pernah kena rashes yang teruk. Dia pernah menangis sekali masa aku ambil dia dari rumah pengasuh. Rupanya dia dah pedih dah lama buang air besar. Sapu minyak TYT lama-lama ok. Dia nangis pun sekali tu je..

Bab makan, bagi aku setiap hari aku bereksperimen nak masak makanan untuk Hani. Sekarang sibuk memasak untuk anak, u tuk suami tak sibuk pun. Hahahaha. Aku pernah tanya darling husband, takpe ke, alhamdulillah dia ok je. Kalau sempat dan tak penat, aku masak lah simple-simple. Kalau hari minggu tu boleh la masak lauk favourite darling husband, ayam masak lemak cili api. Kalau hari biasa tu jarang, sebab balik kerja dah penat, malam prepare barang-barang Hani nak hantar rumah pengasuh, basuh steril semua botol dan bekas makanan dia, prepare bahan nak masak lauk untuk dia. Oh ye Hani sejak 9 bulan ni dah nak makan berlauk. Takde dah ibu dia ni masak bubur biasa-biasa. Kadang-kadang sehari bekalan dia 2,3 bekas. Breakfast lain, lunch lain, makan petang pun lain. Tapi kadang-kadang aku bekalkan satu jenis je. Nanti makan banyak sangat kurang pulak Hani minum susu. Dah lah memang jenis menyusu sikit. Umur 9 bulan Hani masih lagi menyusu 3-4 oz, 4-5 kali sehari (siang). Malam tak tahu berapa oz sebab menyusu dengan ibu je. =) Sebab tu sampai sekarang kami husband and wife ni tak mahir-mahir lagi nak bancuh susu untuk Hani. Heheh..

Hani baru-baru ni. Sekarang berat dalam 8.2kg. Kepakaran Hani sekarang adalah bermain di sebalik langsir. Suka sangat berdiri tepi tingkap, main cak cak kat belakang langsir..

Ni masa Hani ikut ibu pergi meeting di UTM KL. Ayah jaga Hani sepanjang ibu meeting. Sebelum balik Kuantan singgah OU sebab ibu nak beli Garrett Popcorn. Hani duduk dalam stroller kejap je. Jangan harap nak duduk baik lama-lama macam dalam gambar ni. Tipu je tu.. =D
 
Ni lah juadah simple Hani untuk 6/3/2013. Hari ni bubur only, tak ada jemput-jemput / buah / roti. Hani batuk so ibu tak nak bagi makan buah sementara. Bubur ni pun aku bekalkan satu termos, lebih kurang satu tuperware sederhana / lebih kurang 4 senduk kecik, biasanya habis Hani makan. Setiap hari ibu fikir nak masak apa untuk Hani. Tak fikir pun nak masak apa untuk ayah Hani.. '__' I'm sorry my darling.. Eh tapi semalam i masak spageti kan.. =)
 

Wednesday, February 20, 2013

3 YEARS MARRIED!! Alhamdulillah..

Assalamualaikum..

20 Februari 2013, sujud syukur padaMu Ya Allah.. Genap 3 tahun aku menjadi isteri kepada Mohd Azhar b Mansor.

Hidup berdua berjauhan, hidup bersama sebumbung, susah senang kami lalui. Sekarang hidup sangat indah dengan kehadiran cinta hati kami Hani Qalesya bt Mohd Azhar (9 bulan 11 hari).

Demi Allah, aku cinta mereka berdua tanpa batasan..

 


Wednesday, February 13, 2013

Gigi pertama (dan kedua) Hani..

Assalamualaikum..

Gigi pertama anakanda kesayangan aku bukan lah baru je keluar, rasanya dah sebulan lebih dah (sebelum Hani masuk 8 bulan kot). Tapi biasa la, update entry selalu lambat. Anakanda dah masuk 9 bulan dah. Tapi still lagi 2 batang gigi tu sahaja yang Hani ada setakat ni.. Hehe.


Gigi kedua keluar beberapa hari je lepas gigi pertama muncul, kalau tak silap aku. Sebelum tu memang dah expect sebab Hani selalu sangat nak kunyah-kunyah semua benda. Macam gatal gusi. Dia ada la demam sikit sebelum tumbuh gigi tu. Teether ada jugak kami belikan, tapi Hani ni, teether dia tak nak gigit pun, sejuk ke, tak sejuk ke. Yang dia nak gigit adalah benda yang tak patut digigit. Benda paling jadi favourite Hani adalah handphone dan remote tv. Itu memang pantang dicapai, terus di'ngapp'. Sampai sekarang..

Sejak ada gigi ni jugak, masa menyusukan anak kadang-kadang menjadi 'ngeri' bagi aku. Hihi. Seram takut kena gigit dengan gigi comel Hani tu. Lagi seram bila Hani main-main gigit dan tarik. Hani, Hani.. Setakat ni ada la beberapa kali Hani main gigit-gigit tu. =) Tapi dalam seram-seram pun, I love the moment! Bagi aku, saat menyusukan anak di pangkuan, sambil bertentang mata dengan dia, sambil belai rambut dia, pipi comel dia, sambil jari comel dia menggenggam erat jari aku, semua tu kebahagiaan. Walaupun tak dapat nak exclusive breastfeed untuk Hani, aku bersyukur masih lagi menyusukan dia. Even di rumah kami tak ada pun susu tepung.

Ni Hani masa 8 bulan 11 hari. Macam model Vicks pulak. ;-) 
Kalau zoom baru nampak gigi dia 2 batang tu.


Oh! Rindu Hani sangat ni! Hani sekarang minggu kedua tinggal dengan pengasuh (Kak Emi) yang sangat sayangkan Hani. Sebab pengasuh tu tak ada anak perempuan. Pagi tadi hantar Hani pada Kak Emi, Hani boleh pulak babai-babai ibu dia ni. Good girl, sayang! Senang sikit hati ibu nak tinggalkan Hani.

p/s: Hari ni hari ketiga parents aku pergi umrah. Serious, rasa sangat rindukan ma dan abah. Tak sabar nak tunggu diorang balik next week. Sayu sangat hati bila ma nangis nak tinggalkan Hani masa di airport.. :'( Semoga Allah pelihara ma dan abah. Amin...)

Friday, February 8, 2013

Resepi Pasta Kegemaran Hani


Assalamualaikum..

Aku tak pernah share resepi makanan Hani. Esok Hani dah genap 9 bulan. Alhamdulillah Hani semakin berselera makan lepas demam panas hari tu. Setiap hari makanan yang aku bekalkan pada pengasuh, mesti habis licin Hani makan. 

Hani sekarang ni tak suka dah makanan yang lembik sangat, tekstur yang tak perlu dikunyah. Walaupun gigi baru 2 batang, tapi Hani suka tekstur makanan yang sedikit kasar. So ibu Hani ni tak perlu nak blend lama. Kadang tu tak blend pun kalau bubur / pasta dah masak lama..

Cara ibu Hani ni masak pasta:


Aku gunakan tepung atta tu untuk buat white sauce. Tumis bawang besar sikit dengan olive oil,then masukkan tepung atta, gaul sampai bawang diselaputi tepung. Tambahkan air sambil gaul. Sebelum tu dah ada pasta yang siap rebus. Next, bila tepung dah sebati, masukkan pasta dan aku campurkan la puri pilihan. Yang ni aku masukkan puri carrot dan brokoli. Kadang-kadang letak puri salmon, carrot yang dah rebus or letak organic tofu. 

Gambar yang bawah sekali belah kanan tu bila dah masak sebati, aku tabur sikit mix herbs untuk bangkitkan aroma. Sedap... Hehe. Then bila nak suapkan Hani, gaul dengan serbuk ikan bilis sangai yang dah prepare awal-awal buat stok. Sedap sangat!

Mommy Alya, cubalah! =) Nanti u share banyak-banyak resepi solid food Alya ye. =D

Monday, February 4, 2013

Hani ke rumah pengasuh pula..

Assalamualaikum..

Rentetan Hani demam teruk sejak hari ketiga masuk taska..
 
Hari ni hari pertama si manjaku Hani Qalesya dihantar ke rumah pengasuh. Pencarian pengasuh sebelum ni sangat mencabar. Ada la dalam 3 orang pengasuh tak jadi nak jaga Hani. Pengasuh yang ni ma yang cari, rumah dia area dekat-dekat rumah kami jugak. Kak emi namanya, anak ada dua orang, yang sulung tingkatan 5, yang bongsu baru 2 tahun. Dua-dua lelaki. Nampak dia macam suka sangat nak jaga Hani. Maklum la, orang takde anak perempuan..

Pagi tadi aku hantar Hani pada Nekma dia dulu. Sebab jalan nak masuk ke rumah pengasuh tu sangat jammed. So Ma tolong jaga kejap (ni ma yang offer, bukan aku yang paksa). Dalam pukul 9 macamtu ma hantar ke rumah pengasuh. Untuk 1st day ni, ma tinggalkan Hani masa Hani dah tidur. Tengah hari ma pergi jenguk lagi, Hani nangis teruk jugak la. Mesti dia pelik kenapa duduk kat rumah orang asing. Ma suapkan dia makan, Alhamdulillah banyak dia makan. Hari ni aku bekalkan oat kurma + prune sebab semalam Hani macam sembelit sikit. Stop dulu makan nasi dan pasta (favourite Hani).

Ni lagi beberapa minit nak balik. Tak sabar nak ambil Hani dari tangan pengasuh. Tolong lah cepat masa berlalu. Harap-harap lepas ma dan abah balik dari umrah (pergi umrah 10/2 ni), dapatlah pembantu rumah yang kami cari tu.. Amin..


Thursday, January 17, 2013

Pengalaman Hani demam panas

Assalamualaikum..

Sebelum ni Hani pernah demam masa umur 4 bulan. Tapi demam sekejap je, setengah hari. Lepas tu ada la lagi badan dia macam suam-suam sikit dalam 2 kali. just letak cool fever tu je, the dah ok. 

Tapi masa umur 7 bulan lebih baru ni, dia start demam on off. Mula-mula demam nak tumbuh gigi, tak tinggi sangat pun suhu. Demam biasa je. Lepas tu bila masuk taska, beberapa hari sebelum Hani masuk 8 bulan (2 Jan 2013), hari ketiga di taska (Jumaat) Hani demam lagi. Cikgu tak bagitahu aku pun, kebetulan aku pergi taska nak jenguk dan susukan Hani, baru tahu Hani demam. Aku bawak balik terus. 

Seminggu lepas tu, hari Jumaat jugak, Hani demam lagi sekali. Again, cikgu tak inform aku. Memang la demam biasa, tapi masa tu Hani dah merengek-rengek tak nak susu asyik nangis je. Aku tak sedap hati, terus bawak Hani balik rumah lagi. Malam tu Hani ok, Sabtu Ahad pun ok. Isnin tu, dalam pukul 2am, darling husband kejutkan aku cakap badan Hani panas. Kami decide bawak dia ke klinik pakar pagi tu. Doktor cakap demam agak tinggi, suhu 38.5. Doktor nasihatkan kami supaya jangan hantar lagi Hani ke taska buat masa sekarang. Kalau boleh tunggu sampai umur Hani 2 tahun. Kat taska ni tahu jelah, budak ramai, even masa aku hantar Hani pun setiap hari aku nampak ada je budak selsema, hingus meleleh. So untuk baby, keadaan tu tak elok. Walaupun baby diasingkan dalam bilik lain, still dalam satu rumah jugak. 

So aku dengan darling husband decide untuk berhentikan Hani dari taska tu. Sepanjang 7 hari Hani masuk taska, Hani dah pandai makan. Tapi aku tak lah suka sangat part tu, sebab ada part lagi penting, cikgu taska macam tak usaha betul-betul nak bagi Hani minum susu. Aku sediakan 4 botol susu, air masak dengan air panas pun aku sediakan setiap hari. Tapi yang diguna satu je botol. Bila tanya, cikgu cakap guna semua, sedangkan keadaan botol lain tu macam tak digunakan langsung. Banyak kali dah aku tanya. Hani memang jenis susah sikit nak minum susu. Tapi dia kan baby lagi, baru 8 bulan, aku tak nak dia kenyang sangat makan bubur sampai tak minum susu.

Hmmm.. Ok nak sambung balik cerita Hani demam. Balik rumah kami bagi Hani ubat. Doktor bagi aku MC 2 hari untuk jaga Hani. Esoknya badan Hani ada demam lagi sikit. Aku teruskan bagi ubat. Tapi menjelang petang, suhu dia naik turun. Sampai lepas asar, 37 - 39 macamtu. Sebelum maghrib aku dah cuak, suruh darling husband balik cepat sebab suhu Hani dah 39. Hani asyik nangis je. Last-last aku pun nangis. Takut sangat hani kena fit. Sebelum tu Hani ada menggeletar kejap-kejap masa tidur. Aku angkat tengok bibir dengan tangan dia dah biru. Terus basahkan kepala, badan dia semua, baru ok. Ya Allah berdebar tak yah cakap la masa tu.

Suhu 39, kami terus bawak Hani ke emergency department Hospital Pakar Kuantan (KSH). Sampai sana doktor check suhu dah 40.2! Bayangkan, dalam lebih kurang setengah jam perjalanan, suhu Hani dah naik 1 degree. Terus kena masuk ubat roket tu. Doktor bagi rehat, check suhu lagi jadi 38.4, then 37, doktor bagi balik sebab wad full. Tapi suhu Hani macam naik turun lagi kat rumah. 2x Hani muntah tapi tak banyak, Sepanjang 2 hari tu Hani tak nak berenggang langsung dengan aku. Kesian sangat. :'( Bila petang, suhu still agak tinggi lagi, darling husband cuba bancuh air asam jawa, sapu ke kepala dan badan Hani. Dalam beberapa minit, suhu semakin turun, and Hani muntah banyak. Habis keluar semua ubat. Lepas tu terus Hani senyum, Alhamdulillah.. Syukur. Suhu pun semakin rendah, sampai 36 degree. Kalau tak kami nak bawak Hani ke hospital dah.

Lepas tu sampai la saat aku tulis ni, suhu badan Hani dah stabil. Hani kembali aktif, sampaikan malam tak nak tidur asyik nak main je.. =) Ubat antibiotik still lagi diteruskan. 2 hari aku MC, sehari cuti. Sekarang Hani bawah jagaan ma, ma dah tak bagi hantar ke taska. Kami pun dah tak nak. Pengasuh sedang dicari, sementara tu ma jagakan Hani.. Semoga semuanya baik-baik sahaja lepas ni. Hani... Ibu dengan ayah tak nak Hani sakit lagi.. :'( We love you so much sayang...

Hmmm berat Hani cuma 7.4kg di usia 8 bulan. Masa 6 bulan Hani 7kg. Dalam 2 bulan, berat tak naik pun.. Ibu tak kisah kalau Hani ringan tapi sihat. Ibu susah hati kalau Hani ringan, sakit pulak.. :'(

Thursday, January 10, 2013

Hani Qalesya 8 bulan

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, syukur, Hani Qalesya ku sayang dah masuk 8 bulan dah.. Masa whatsup dengan darling husband (dia outstation), bila cakap yang lagi 4 bulan Hani nak celebrate her 1st birthday, i cried. Cepat sangat masa berlalu. Walaupun Hani semakin membesar, she will always be my baby. Always. :'(

Hari ni hari ketujuh Hani di taska. So far so good. Alhamdulillah, Hani mudah menyesuaikan diri. Kami suami isteri pun mula-mula banyak curiga, tapi kena fikir positif. Banyak baca kes taska bagi ubat demam supaya anak mudah tidur.. Hani biasanya tidur buai dengan Nekma. Tapi dengan kami boleh je tidur atas tilam. Dengan syarat kena ada susu ibu dia ni. Heh. Kena 'bergayut' dengan ibu dulu baru boleh tidur.. Kat taska, cikgu bagi susu botol atas riba. Tepuk-tepuk, Hani tidur.. Kadang-kadang Hani tidur atas rocker. Kalau buat macam tu kat rumah, tak jadi pun. Baru tepuk sekali dua Hani dah sibuk nak bangun. Tak pun dia yang tepuk ibu balik. Hihi. Hani suka sangat tepuk orang..

1st day di taska tu, cikgu bagi makan bubur nasi + ayam pada Hani. Sedangkan masa tu aku belum lagi introduce ayam. Akibatnya, Hani sembelit. Aku bekalkan bubur Hani untuk makan sampai 2x. Cikgu bagi makan pagi dan tengah hari, petang makan bubur taska. Kesian Hani sembelit beberapa hari. Makan ikan salmon pun sembelit. Last-last aku try buat bubur oat + kurma, terus ok poo poo dia. 

Setakat hari ni, Hani sentiasa happy dan cergas bila balik rumah. 1st day tu kami pelik, fikir ada ke cikgu bagi baby ubat untuk gembira? Haha. Sebab dia asyik senyum. Kat taska memang ada dia menangis sikit-sikit. Biasa la tu. Satu lagi perkembangan positif, Hani dah pandai makan! Sebelum masuk taska, Hani time makan dia ikut mood. Kalau mood malas bukak mulut, dia tutup rapat mulut tu. Tapi bila makanan dah masuk mulut, ok je dia telan. Kadang tu sampai tepis-tepis sudu. Sekarang ni, setiap suapan Hani terima dengan baik. Buka mulut, makan, tak ada la comot-comot sangat bib tu. Makan pun dah boleh licin mangkuk. Pandai anak ibu! =)

 Ni Hani masa genap 8 bulan, baru ambil dari taska masa ibu balik kerja. Tengah ralit menilik biskut ibu. Teether tu kalau dah tak sejuk dia tak nak dah.. Ibu whatsup gambar ni pada ayah. Setiap hari setiap aktiviti Hani ibu whatsup, lagi-lagi kalau ayah outstation beberapa hari. Bila ayah whatsup gambar ayah bagi Hani tengok, Hani terus kiss tab ibu. Ohhh :'(

Setiap hari aku tak sabar nak tengok perkembangan Hani. Setiap hari ada je pencapaian baru Hani. Perkara paling indah setiap kali bangun tidur adalah melihat wajah Hani di sisi. Dan lagi indah bila Hani senyum, sengih pagi-pagi, main-main nyanyi-nyanyi dengan Hani. Semua lah tentang Hani, semuanya indah..

Semoga Hani membesar dengan sihat dan diberkati Allah. Amin..